Keletihan akibat kepanasan menyebabkan tubuh mula menjadi kering, pening dan mengalami kekejangan otot. - Gambar hiasan
TIDAK kira sama ada musim sejuk atau panas, kedua-dua keadaan cuaca tersebut boleh memberi implikasi kepada tubuh badan sekiranya individu tidak memberi perhatian pada penjagaan yang sewajarnya. Sebagai contoh, cuaca panas atau kemaru yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai mengadu tidak selesa, selain peningkatan bagi kes demam, penyakit ruam mahupun penyakit-penyakit lain seperti batuk dan selesema yang memakan masa berhari-hari.
Perkara ini diakui perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang
Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh yang ditemubual MEGA baru-baru
ini.
Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan penyakit yang sering terjadi pada musim panas adalah seperti ruam panas.
Menurutnya, ruam panas sering terjadi bukan saja di kalangan bayi malah orang dewasa
dan warga emas juga.
Keadaan tersebut berlaku apabila cuaca panas dan individu tidak
menggunakan pakaian yang sesuai seperti fabrik yang menyerap peluh,
warna fabrik yang lembut dan tidak meminum air yang cukup.
"Apabila panas terperangkap dalam badan, kilang peluh menjadi
tersumbat dan tersekat. Apabila itu terjadi, pada permukaan kulit akan
dilihat sedikit membengkak dan akan menimbulkan rasa tidak selesa.
"Dalam sesetengah kes, apabila berlaku jangkitan maka boleh berlaku
demam. Pemakaian adalah elemen penting dalam memastikan tubuh tidak
terkena ruam panas pada musim panas ini," jelas Dr. Mat Rifin.
Selain ruam panas, individu yang terdedah pada cuaca panas melampau juga berisiko terkena penyakit yang dinamakan heat edema.
Golongan ini menurutnya, adalah mereka yang bekerja dan berdiri dalam cuaca panas untuk satu tempoh yang agak lama.
"Dalam kes heat edema ini adakalanya boleh menjurus kepada simptom
yang lebih serius lagi seperti keletihan akibat kepanasan (heat
exhaustion).
"Apabila ini berlaku, tubuh mula menjadi kering atau dehidrasi dan
gejala lain seperti haus, pening dan kekejangan otot. Otot yang berisiko
menjadi kejang seperti abdomen, kaki dan tangan.
"Untuk mengelakkan heat exhaustion ini, individu tersebut perlu
memberi keutamaan kepada pemakaian yang betul terutama dari segi
pemilihan warna. Elakkan pakai pakaian berwarna hitam kerana ia memang
kuat menyerap haba," pesannya lagi.
Strok panas
Dr. Mat Rifin berkata, keadaan paling kronik melibatkan cuaca panas
ini ialah heat stroke atau strok panas. Walaupun setakat ini kes seperti
itu jarang berlaku di Malaysia, risikonya tetap ada.
"Heat stroke ini kita pernah dengar berlaku di kalangan jemaah haji dan ada kalanya turut melibatkan kematian.
"Punca utama ialah apabila tubuh hilang banyak air dan invividu
tersebut tidak minum air yang cukup. Memang adakalanya mereka tidak
berasa haus, tetapi sebenarnya apa yang mereka tidak sedari ialah dalam
tubuh memang sudah kekurangan air.
"Jika heat stroke ini berlaku risikonya individu boleh hilang ingatan
sementara. Sebab itu kadangkala kita ada jumpa warga emas yang sekali
sekala bercakap yang sukar difahami kerana salah satu faktornya mereka
ini sangat kurang minum air.
"Kerosakan otak boleh berlaku sekiranya air yang diminum tidak
mencukupi," kata Dr. Mat Rifin yang menyarankan pada musim ini individu
sepatutnya minum air sebanyak dua hingga tiga liter sehari atau lebih.
Beliau mengakui pada sesetengah pekerjaan agak sukar untuk mengelak
berada di cuaca panas terutama mereka yang bekerja di tapak pembinaan.
Salah satu cara yang boleh dibuat ialah dengan penjadualan semula,
tetapi jika keadaan tersebut juga sukar dilakukan maka disarankan mereka
mandi dengan kerap.
Selain itu, perhatian juga perlu diberi pada kanak-kanak dan warga
emas supaya tidak dibiarkan lama dalam bilik sempit tanpa pengudaraan
atau dalam kenderaan tertutup.
Dalam dua situasi ini haba tidak boleh keluar dan bila terlalu panas,
kanak-kanak atau warga emas tadi boleh terkena simptom heat exhaustion
atau keletihan panas dan mula menjadi keliru.
Mereka sukar menjerit, seakan khayal dan fungsi untuk meminta pertolongan menjadi lemah.
"Disarankan juga kepada mereka yang mampu untuk memasang pendingin hawa di kediaman masing-masing bagi mengurangkan kepanasan.
"Jika perlu keluar, pastikan memakai topi atau payung untuk kurangkan pendedahan panas tersebut pada kulit.
"Pada musim panas ini juga penyakit selesema juga bertambah dan untuk
mengelak penyebarannya pastikan memakai topeng mulut," nasihatnya.
Panas dan denggi
Dr. Mat Rifin juga berkata, terdapat kajian yang telah dijalankan
oleh University John Hopkins mendapati bahawa pemanasan global memang
ada kaitan dengan penyebaran
penyakit termasuk denggi.
"Penyebaran penyakit pembawaan vektor nyamuk ini termasuk denggi dan
malaria. Dalam kajian tersebut juga mendapati cuaca panas menjadikan
nyamuk lebih aktif dan lebih banyak serta cepat membiak.
"Jika pada musim selain panas, nyamuk aedes menghisap darah selang
sehari tetapi kajian menunjukkan pada musim panas, nyamuk aedes
menghisap darah setiap hari dengan itu risiko penyebaran penyakit denggi
lebih tinggi.
"Kebelakangan ini kes denggi yang dilaporkan meningkat sehingga 200
peratus di Selangor dan Kuala Lumpur. Di Hospital Pakar Ampang Puteri
juga menerima ramai pesakit yang menghidap demam denggi sejak dua tiga
bulan lalu," jelasnya.
Lazimnya beliau berkata, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk,
mangsa akan mula
mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk
jangkitan denggi.
Ini termasuk sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit
belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi,"
katanya.
Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa
pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa
turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit
seluruh badan.
"Jika demam, disertai sakit sendi-sendi, rasa lemah dan muntah-muntah
segeralah ke hospital. Demam denggi tidak semestinya timbul
bintik-bintik merah, kes sebegini hanya 30 peratus sahaja.
"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal
agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan
kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh
selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa
penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.
Di hospital ini terdapat pengesan denggi seperti NS1 antigen yang
boleh mengesan denggi pada tahap apa dengan lebih tepat berbanding
kiraan ujian darah. - NOOR FAZRINA KAMAL
Comments
Post a Comment