Skip to main content

PENYAKIT MUSIM PANAS

Keletihan akibat kepanasan menyebabkan tubuh mula menjadi kering, pening dan mengalami kekejangan otot. - Gambar hiasan

TIDAK kira sama ada musim sejuk atau panas, kedua-dua keadaan cuaca tersebut boleh memberi implikasi kepada tubuh badan sekiranya individu tidak memberi perhatian pada penjagaan yang sewajarnya. Sebagai contoh, cuaca panas atau kemaru yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai mengadu tidak selesa, selain peningkatan bagi kes demam, penyakit ruam mahupun penyakit-penyakit lain seperti batuk dan selesema yang memakan masa berhari-hari. 

Perkara ini diakui perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh yang ditemubual MEGA baru-baru ini.

Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan penyakit yang sering terjadi pada musim panas adalah seperti ruam panas.

Menurutnya, ruam panas sering terjadi bukan saja di kalangan bayi malah orang dewasa 
dan warga emas juga.

Keadaan tersebut berlaku apabila cuaca panas dan individu tidak menggunakan pakaian yang sesuai seperti fabrik yang menyerap peluh, warna fabrik yang lembut dan tidak meminum air yang cukup.

"Apabila panas terperangkap dalam badan, kilang peluh menjadi tersumbat dan tersekat. Apabila itu terjadi, pada permukaan kulit akan dilihat sedikit membengkak dan akan menimbulkan rasa tidak selesa.

"Dalam sesetengah kes, apabila berlaku jangkitan maka boleh berlaku demam. Pemakaian adalah elemen penting dalam memastikan tubuh tidak terkena ruam panas pada musim panas ini," jelas Dr. Mat Rifin.

Selain ruam panas, individu yang terdedah pada cuaca panas melampau juga berisiko terkena penyakit yang dinamakan heat edema.

Golongan ini menurutnya, adalah mereka yang bekerja dan berdiri dalam cuaca panas untuk satu tempoh yang agak lama.

"Dalam kes heat edema ini adakalanya boleh menjurus kepada simptom yang lebih serius lagi seperti keletihan akibat kepanasan (heat exhaustion).

"Apabila ini berlaku, tubuh mula menjadi kering atau dehidrasi dan gejala lain seperti haus, pening dan kekejangan otot. Otot yang berisiko menjadi kejang seperti abdomen, kaki dan tangan.

"Untuk mengelakkan heat exhaustion ini, individu tersebut perlu memberi keutamaan kepada pemakaian yang betul terutama dari segi pemilihan warna. Elakkan pakai pakaian berwarna hitam kerana ia memang kuat menyerap haba," pesannya lagi.

Strok panas

Dr. Mat Rifin berkata, keadaan paling kronik melibatkan cuaca panas ini ialah heat stroke atau strok panas. Walaupun setakat ini kes seperti itu jarang berlaku di Malaysia, risikonya tetap ada.

"Heat stroke ini kita pernah dengar berlaku di kalangan jemaah haji dan ada kalanya turut melibatkan kematian.

"Punca utama ialah apabila tubuh hilang banyak air dan invividu tersebut tidak minum air yang cukup. Memang adakalanya mereka tidak berasa haus, tetapi sebenarnya apa yang mereka tidak sedari ialah dalam tubuh memang sudah kekurangan air.

"Jika heat stroke ini berlaku risikonya individu boleh hilang ingatan sementara. Sebab itu kadangkala kita ada jumpa warga emas yang sekali sekala bercakap yang sukar difahami kerana salah satu faktornya mereka ini sangat kurang minum air.

"Kerosakan otak boleh berlaku sekiranya air yang diminum tidak mencukupi," kata Dr. Mat Rifin yang menyarankan pada musim ini individu sepatutnya minum air sebanyak dua hingga tiga liter sehari atau lebih.

Beliau mengakui pada sesetengah pekerjaan agak sukar untuk mengelak berada di cuaca panas terutama mereka yang bekerja di tapak pembinaan.

Salah satu cara yang boleh dibuat ialah dengan penjadualan semula, tetapi jika keadaan tersebut juga sukar dilakukan maka disarankan mereka mandi dengan kerap.

Selain itu, perhatian juga perlu diberi pada kanak-kanak dan warga emas supaya tidak dibiarkan lama dalam bilik sempit tanpa pengudaraan atau dalam kenderaan tertutup.

Dalam dua situasi ini haba tidak boleh keluar dan bila terlalu panas, kanak-kanak atau warga emas tadi boleh terkena simptom heat exhaustion atau keletihan panas dan mula menjadi keliru.

Mereka sukar menjerit, seakan khayal dan fungsi untuk meminta pertolongan menjadi lemah.

"Disarankan juga kepada mereka yang mampu untuk memasang pendingin hawa di kediaman masing-masing bagi mengurangkan kepanasan.

"Jika perlu keluar, pastikan memakai topi atau payung untuk kurangkan pendedahan panas tersebut pada kulit.

"Pada musim panas ini juga penyakit selesema juga bertambah dan untuk mengelak penyebarannya pastikan memakai topeng mulut," nasihatnya.

Panas dan denggi

Dr. Mat Rifin juga berkata, terdapat kajian yang telah dijalankan oleh University John Hopkins mendapati bahawa pemanasan global memang ada kaitan dengan penyebaran 
penyakit termasuk denggi.

"Penyebaran penyakit pembawaan vektor nyamuk ini termasuk denggi dan malaria. Dalam kajian tersebut juga mendapati cuaca panas menjadikan nyamuk lebih aktif dan lebih banyak serta cepat membiak.

"Jika pada musim selain panas, nyamuk aedes menghisap darah selang sehari tetapi kajian menunjukkan pada musim panas, nyamuk aedes menghisap darah setiap hari dengan itu risiko penyebaran penyakit denggi lebih tinggi.

"Kebelakangan ini kes denggi yang dilaporkan meningkat sehingga 200 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur. Di Hospital Pakar Ampang Puteri juga menerima ramai pesakit yang menghidap demam denggi sejak dua tiga bulan lalu," jelasnya.

Lazimnya beliau berkata, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula 
mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi.

Ini termasuk sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya.

Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
 
"Jika demam, disertai sakit sendi-sendi, rasa lemah dan muntah-muntah segeralah ke hospital. Demam denggi tidak semestinya timbul bintik-bintik merah, kes sebegini hanya 30 peratus sahaja.

"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.
Di hospital ini terdapat pengesan denggi seperti NS1 antigen yang boleh mengesan denggi pada tahap apa dengan lebih tepat berbanding kiraan ujian darah. - NOOR FAZRINA KAMAL

Comments

Popular posts from this blog

BEKAM SIHIR

SEJARAH rawatan berbekam yang dimulakan sejak ribuan tahun dahulu sering dikaitkan sebagai kaedah terbaik untuk mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca pelbagai penyakit. Hari ini, berbekam semakin popular kerana manfaatnya didakwa berkesan membantu mengurangkan bisa penyakit gout, migrain dan sakit belakang. Terbaru, kaedah rawatan Islam ini dikatakan berupaya menangani gangguan sihir. Menurut perawat bekam di Pusat Terapi Syifa, Ahmad Husin, 36, bekam sihir boleh dilakukan di semua titik yang dipanggil Thibbun Nabawi. Selain itu, bekam juga boleh dilakukan di titik sendi badan. "Fungsi berbekam jenis ini ialah untuk mengeluarkan endapan sihir atau darah kotor akibat gangguan jin yang bergerak melalui saluran darah manusia. "Untuk mengatasi gangguan sihir, bahagian yang wajib dibekam ialah kepala dan tengkuk. Bahagian tubuh yang lain dibekam mengikut keperluan, bergantung pada jenis sihir. "Berdasarkan pengalaman saya, pesakit yang menghidap sihir k

5 MANFAAT BEKAM DI KEPALA MENURUT HADIS RASULULLAH SAW

1. Menguatkan Hafalan Hadis Riwayat Ibnu Umar Ra “Berbekam pagi hari sebelum makan adalah yang terbaik,di dalamnya terdapat penyembuhan dan berkat, serta menambah kekuatan akal dan hafalan..”(At-Thibb,3478). Kata guruku, untuk kekuatan minda & hafalan, berbekamlah pada hari Isnin pagi selepas Israk, sebulan sekali atau 40 hari sekali. Selalu berbekam di kepala akan terhindar daripada penyakit strok. 2. Mencerdaskan Kecerdasan berhubung kait dengan ketenangan dalam belajar. Anak yang lemah dalam pelajaran biasanya terlalu aktif, hiperaktif atau terlalu malas. Penyakit anak ini hubungannya lebih banyak ke mental, kurangnya perihatin emak ayah, kerana was-was, penyakit yang dihembus syaitan. Maka bekam adalah salah satu cara menyelesaikan masalah tersebut. 3. Menajamkan Penglihatan Mata Jika melakukan Bekam Kepala, maka secara langsung akan mempengaruhi organ yang dekat dengan kepala, misalnya mata, telinga dan lain-lain. Manfaat menajamkan mata, jelas bagi pende

KRISIS PENYEMBUHAN (HEALING CRISIS) SELEPAS AMALKAN BEKAM SUNNAH...

- Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan krisis penyembuhan? Jawapan: Proses dalam badan yang mengambil masa untuk membersih dan membina semula sel-sel badan yang telah rosak akibat radikal bebas. Proses ini akan bermula menyingkirkan oksidan yang telah lama terkumpul di dalam badan sepanjang hidup. Semasa proses penyingkiran oksidan badan anda akan mengalami tanda atau simptom yang membuat anda rasa tidak selesa, dan ia dipanggil sebagai krisis penyembuhan. Dalam perubatan China, penyembuhan terbaik sentiasa didahului dengan krisis penyembuhan. - Soalan: Mengapakah krisis penyembuhan selalu terjadi selepas mengamalkan BEKAM SUNNAH? Jawapan: Selepas mengamalkan BEKAM SUNNAH, ia akan bertindak balas dengan oksigen di dalam badan. Dan tindak balas ini akan merangsang organ badan bagi menjalankan proses PEMBERSIHAN dan PENYINGKIRAN OKSIDAN dalam badan anda yang telah lama terkumpul. Proses ini terjadi untuk  menggantikan tisu yang lama dengan tisu yang baru.  Sebag