Skip to main content

WAJIB IKUT RASULULLAH SAW


Soalan 

TERDAPAT fahaman yang cuba menolak hadis sebagai suatu asas penting dalam Islam. Ini kerana hadis adalah rekaan para ulama silam sahaja. Ini terbukti dengan penulisan hadis yang bermula sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi SAW. Adakah fahaman ini boleh diikuti?

Jawapan


Menolak hadis Nabi SAW merupakan satu fahaman yang bertentangan dengan manhaj ahli sunnah wa al-jamaah. Ini kerana hadis adalah sumber kedua selepas al-Quran.


Banyak nas al-Quran menjelaskan tentang al-Rasul dan kepentingan mengikutinya. Contohnya firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah al-Rasul... (al-Nisa: 59)


Dalam ayat ini, ketaatan yang dituntut adalah ketaatan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada al-Rasul. Bagaimana ketaatan kepada Allah SWT? Ketaatan kepada Allah SWT adalah dengan taat kepada perintah Allah yang terdapat dalam kitab Allah iaitu al-Quran.


Ketaatan kepada Allah SWT bukanlah bermaksud bahawa Allah SWT menjelma di hadapan seseorang lalu berfirman sebagaimana kalam Allah dengan Nabi Musa a.s.


Begitu juga ketaatan kepada al-Rasul. Ia bukan bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW datang menjelma di hadapan kita atau baginda SAW menjelma di dalam mimpi.


Sebaliknya, ketaatan kepada al-Rasul adalah dengan mematuhi perintah Nabi SAW yang terkandung di dalam hadis.


Fahaman yang menolak hadis Nabi mendakwa bahawa mereka hanya ingin mentaati al-Quran. Namun adakah di sana suatu ayat al-Quran yang menyuruh kita taat kepada al-Quran?


Sidang pembaca boleh menyemak setiap helaian al-Quran. Tiada suatu ayat pun dalam al-Quran di mana dinyatakan bahawa taatilah al-Quran. Sebaliknya ketaatan adalah kepada Allah SWT.


Dalam nas al-Quran yang lain dinyatakan pula: Jika kamu semua cintakan Allah maka ikutilah saya (Nabi SAW). (Ali ‘Imran: 31)


Persoalannya, bagaimana kita hendak mengikut Nabi SAW? Adakah dengan mengikut al-Quran sahaja maka ia sudah memadai? Jika hanya perlu mematuhi al-Quran, maka tidaklah kita memerlukan ayat ini di dalam al-Quran. Maka sepatutnya ayat ini berbunyi: 

"Jika kamu semua cintakan Allah maka taatilah al-Quran."


Dalam nas al-Quran yang lain, al-Quran menyatakan ketidakimanan terhadap sesiapa yang tidak menerima keputusan Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT: Maka mereka tidak beriman hinggalah mereka melantik kamu wahai Nabi dalam perkara yang khilaf antara mereka. (al-Nisa: 65)


Dalam nas al-Quran yang lain dinyatakan lagi: Sesungguhnya bagi kamu semua pada diri al-Rasul ada ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)


Nas al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ikutan, contoh dan teladan bagi kita. Maka apa yang diucapkan dan dibuat oleh baginda SAW sebagaimana yang kita ketahui dalam riwayat hadis adalah contoh ikutan bagi kita. Maka nas-nas al-Quran menerangkan dengan jelas kewajipan mengikuti apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.


Perlaksanaan ibadat


Para pembaca yang dihormati, cuba kita teliti perlaksanaan ibadat kita tanpa merujuk kepada hadis. Kita terus mengambil apa sahaja yang ada dalam al-Quran. Solat contohnya. Berapa waktu perlu kita bersolat setiap hari? Ada dinyatakan lima waktu atau lebih atau kurang?


Adakah dalam al-Quran dinyatakan nama solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak? Bagaimana pula tatacara perlaksanaan solat?


Kalau dirujuk di dalam al-Quran, dinyatakan beberapa perkara berkaitan solat iaitu dirikan solat, buatlah solat kerana Allah, bacalah apa yang mudah daripada al-Quran, rukuk, sujud, khusyuk dan qunut.


Persoalannya, apa yang perlu dibaca ketika rukuk dan sujud, berapa kali sujud, berapa rakaat solat, bagaimana tahiyyat, iktidal perlu atau tidak dan sebagainya.


Kita ambillah contoh ibadat puasa. Di dalam al-Quran dinyatakan tentang kewajipan berpuasa, beberapa hari, bulan Ramadan, disempurnakan puasa hingga malam, keharusan makan hingga nampak benang putih daripada benang hitam dari fajar, iktikaf dan beberapa lagi hukum. Namun tidak ditemui pula tentang solat terawih, tadarus al-Quran, keperluan memelihara pandangan mata dan sebagainya.


Justeru, ibadat khusus yang hanya berdasarkan al-Quran tanpa hadis adalah ibadat yang tidak sempurna.


Penulisan hadis


Pertikaian timbul kerana penulisan hadis yang dikatakan agak lewat. Tidak dinafikan bahawa penulisan hadis bermula sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi SAW. Namun penulisan hadis juga berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Bukti sejarah Nabi SAW menjelaskan bahawa beberapa sahabat r.hm sudah pun menulis hadis. Namun kebanyakan para sahabat telah menghafaz hadis-hadis baginda SAW.


Para sahabat r.hm juga menceritakan apa yang mereka lihat daripada baginda SAW. Penulisan hadis bukan sahaja berlaku pada zaman Imam al-Bukhari namun lebih awal lagi pada zaman Imam Malik yang lahir sekitar tahun 80 selepas hijrah Nabi.


Jika hadis ditolak kerana penulisannya tidak bermula pada zaman Nabi SAW, satu masa nanti akan wujud pula fahaman yang menolak al-Quran kerana hujah yang sama.


Tidak mustahil akan wujud pula dakwaan mengatakan bahawa al-Quran hari ini sudah tidak betul kerana al-Quran tidak ditulis dengan sempurna pada zaman Nabi SAW. Sebaliknya al-Quran hanya ditulis di atas pelepah tamar, kulit haiwan dan sebagainya. Mana mungkin al-Quran yang tebalnya 600 halaman ditulis dengan sempurna hanya di atas pelepah tamar dan kulit haiwan. Al-Quran pada zaman Nabi SAW pula tidak mempunyai baris fathah, kasrah dan sebagainya. Huruf al-Quran pula tidak bertitik seperti huruf nun, ba, ta dan sebagainya. Maka al-Quran juga wajib ditolak.


Fahaman menolak hadis akan membawa kepada penolakan al-Quran. Akhirnya hadis dan al-Quran ditolak bersama. Lalu bagaimana kita umat Islam ketika itu?

Comments

Popular posts from this blog

ANGIN AHMAR / STROK

  Apa itu strok/angin ahmar? Strok/angin ahmar adalah satu keadaan dimana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen. Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang. Diantara gejala yang ketara adalah pengsan, tidak sedarkan diri dan/atau lemah sebahagian anggota. Strok/angin ahmar adalah penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal. Statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit Stroke/Angin Ahmar dan kematian akibat Strok/Angin Ahmar.Di Hospital Kuala Lumpur data statistik mencatatkan 30-35 peratus kematian daripada 1000 kes penghidap Strok/Angin Ahmar yang dirawat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada Tahun 2001 terdapat 20.0 juta penghidap stroke seluruh dunia, 5.5 juta membawa maut. Apakah faktor risiko yang menyumbang kepada strok/angin ahmar? Faktor risiko penyumbang...

CARA MINUM MADU SEBAGAI PENAWAR PENYAKIT

Selama ini, tujuan makan madu selain nak sihat tentu-tentulah nak sembuhkan penyakit. Tapi kenapa walau dah habis berbotol madu, sakitnya masih ada.. tak jadi ubat. Rupanya cara minum madu itu yang salah. Dr Hisham bin Hashim, seorang herbalis dan gemologis memaklumkan petua bukan sekadar apa yang difikirkan sebagai tinggalan orang dulu-dulu. Petua itu sebenarnya adalah daripada Rasulullah SAW. Mengamalkan pemakanan sunnah sepatutnya memberi kesan yang cukup baik. Antara makanan sunnah adalah habbatus sauda, madu lebah dan minyak zaitun. Tapi mengapa pemakanan yang disebutkan dalam al Quran mahupun hadis dengan kesan penyembuhan ini tetap tidak memberi kesan penyembuhan dalam diri seseorang? Maka itu, perlunya petua dirujuk kembali. Kerana antara petua dan ilmu itu, petua juga sama penting. Andai ada ilmu yang banyak sekalipun, tanpa cara betul mengamalkan petua. Petua tetap tidak menjadi ubat. Madu lebah mempunyai kesan penyembuhan yang hebat. Yang mana lebah-lebah akan bekerja mengum...

EMAS SEBAGAI SIMPANAN KECEMASAN

 “Saya tidak berminat menyimpan emas. Saya sudah ada bisnes dan income yang selesa” Ini antara contoh penolakan yang saya terima. Penolakan ini biasanya akan terjadi apabila kita tidak faham dan tidak jelas tentang fungsi sebenar emas.  Salah satu fungsi emas adalah sebagai sebagai #backup Ketika kita perlukan duit. Kata pakar kewangan, kita mesti mempunyai dana kecemasan 6 bulan hingga 12 bulan pendapatan sebagai #backup kita. Maksudnya samada kita berniaga atau bekerja, kita perlu berusaha untuk capai dana kecemasan sebanyak itu. • Jika pendapatan kita sebanyak RM2,000 kita mesti memiliki RM12,000 sebagai dana kecemasan. • Jika pendapatan kita sebanyak RM4,000 kita mesti memiliki RM24,000 sebagai dana kecemasan. • Jika pendapatan kita sebanyak RM6,000 kita mesti memiliki RM36,000 sebagai dana kecemasan. • Jika pendapatan kita sebanyak RM8,000 kita mesti memiliki RM48,000 sebagai dana kecemasan. Seandainya kita “ngeri” melihat nombor-nombor itu bermaksud fikiran kita belum b...