Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan
Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman
menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit
masih tidak diketahui.
“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah
tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,”
katanya.
Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.
Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.
Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.
Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi
140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit
tersebut.
“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak
dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan
jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.
Satu daripada dua
Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat
negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.
“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.
“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.
“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah
kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan
dan obesiti,” ujarnya.
Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata,
risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang
berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.
“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi
mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,”
katanya.
Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan
alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata,
penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan
pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.
Akupuntur
Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa
selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti
mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.
Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.
“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.
“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.
Comments
Post a Comment